Secebis Kisah Kenikmatan di dalam Syurga
assalamualaikum!
alhamdulillah,permulaan hari yg baik,kan?pepagi dah update blog.sekarang mood aku tengah kerohanian sikit lah kan.before this pun aku ada post entri berbentuk kerohanian,kan?terima kasih penaja rasmi kali ini.semuanya aku dapat dari sini.
Sesungguhnya di dalam syurga itu berupa sesuatu yang belum pernah di  lihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah  terlintas oleh hati manusia. Ahli syurga bagaikan raja bersenang-lenang  dengan penuh kenikmatan sedangkan umur mereka seusia dengan putera. Usia  mereka kekal selamanya 33 tahun yakni seusia ketika nabi Isa AS di  angkat ke langit, manakala tinggi mereka pula setinggi nabi Adam AS  yakni setinggi 60 hasta dan dalamnya lintang 7 hasta. Mereka sangat  kacak dan suara mereka sangat merdu. Mata mereka seakan bercelak, putih  kulitnya, tiada berbulu badannya kecuali di kepala (kerinting  rambutnya), alis dan kelopak mata. Sedang janggut, misai, ketiak dan  kemaluan licin tidak berbulu. Mereka tidak kencing dan tidak buang air  besar, tidak berludah dan tidak berhingus dan peluh mereka berbau  kasturi. Bejana mereka dari emas dan perak, sisir rambut mereka dari  emas, kayu bakar mereka dari kayu gahru yang harum (kayu kemenyan).  Mereka sentiasa merasa aman dari azab. Hati mereka sentiasa bersatu dan  tidak pernah berselisih dan benci membenci antara sesama mereka.
Mereka diberi pakaian dari sutera halus yang hijau dan tebal lagi  tidak akan reput atau lusuh. Di kepala mereka ada mahkota yang dapat  menerangi antara timur dan barat. Mereka juga diberi pakai 70 macam  perhiasan yang berubah warnanya setiap jam, berbeza warna dengan  perhiasan yang lain, sedang jari-jari mereka ada sepuluh cincin, terukir  pada yang;
- Salam alaikum bima shobartum (Selamat sejahtera kamu kerana kesabaran kamu)
- Ud khuluha bisalamin aminin (Masuklah ke syurga dengan selamat dan aman)
- Tilkal janatullati urits tumu ha bima kuntum ta'malun (Itulah syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu)
- Rufi'at ankumul ahzana wal humum (Telah dihindarkan dari kamu semua risau dan dukacita)
- Albasakum alhuli wal hulal (Kami berimu pakaian dan perhiasan)
- Zawwa jakum ul hurul iin (Kami kahwinkan kamu dengan bidadari)
- Walakum fihamatasy tahihil anfusu wa taladzzul a'yun wa antum fiha khalidun (Untuk mu dalam syurga segala keinginan dan menyenangkan pandangan matamu)
- Rafaq tumunnabiyina wassiddiqin (Kamu telah berkumpul dengan para Nabi dan Siddiqin)
- Shirtum syababa laa tahromun (Kamu menjadi muda dan tidak tua selamanya)
- Sakantum fi jiwari man laa yu'dzil jiran (Kamu tinggal dengan tetangga yang tidak mengganggu tetangganya)
Penglihatan mereka dilapangkan sehingga ia memandang yang jauh-jauh  seperti memandangnya dari jarak dekat. Penghabisan orang yang masuk  syurga dan paling rendah kedudukannya, diberi kerajaan sepanjang  penglihatannya, serupa dengan jarak 100 tahun perjalanan. Dan didirikan  bagi mereka kubah dari mutiara, zabarjat dan yakut. Lebarnya seperti  antara Al-Jabiyah ke Sana'a. Setiap pagi dan petang mereka diberi makan  dengan 70,000 piring dari emas, sedangkan warna pada setiap piring tidak  sama, sedang rasa makanan pada tiap suapan tidak sama, ditemukan rasa  makanan pada suapan yang pertama sama rasanya dengan rasa pada suapan  terakhir.
Terdapat 70,000 kampung yang terdiri dari mutiara dan yakut. Setiap  kampung ada 70,000 rumah sedangkan rumah-rumah itu tidak satu pecah atau  rosak. Sebahagian bangunan di syurga diperbuat dari jalinan bata dari  emas dan bata dari perak. Bumi syurga dari perak, dan tanahnya dari  misik atau za'faran, debu lantainya dari kasturi yang semerbak harum,  dan kerikilnya mutiara serta yakut dan urat-urat pohonnya dari perak,  sedang dahannya dari mutiara dan zabarjad, daun dan buahnya berada di  bawah, maka seseorang tidak menghadapi kesukaran untuk makan walaupun  dalam keadaan berdiri, duduk ataupun baring. 
Diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Allah SWT telah  menciptakan wajah-wajah bidadari terdiri dari 4 warna; putih, hijau,  kuning dan merah. Dan tubuhnya diciptakan dari za'faran, misik dan  kafur. Dan rambutnya diciptakan dari cengkeh. Bahagian tubuhnya mulai  dari kaki sampai lutut tercipta dari za'faran. Dari lutut sampai buah  dada tercipta dari anbar. Dari leher sampai kepala tercipta dari kafur.  Andaikata meludah ke dunia, maka ludahnya akan menjelma menjadi misik.  Pada setiap dadanya tertulis nama suaminya dan nama dari nama-nama Allah  SWT. Pada setiap tangannya mengenakan 10 gelang dari emas, memakai  cincin sebanyak 10 pada jari-jarinya, memakai 10 perhiasan gelang kaki  dari mutiara dan permata."
Sekurang-kurangnya penduduk syurga itu memiliki 80,000 pelayan dan  dikahwinkan dengan 72 isteri (bidadari). Mereka diberi kekuatan 100  orang ketika makan, minum dan senggama. Dicipta bidadari secara langsung  oleh Allah SWT dan bukan melalui proses kelahiran. Kejelitaan  digambarkan seakan-akan bidadari itu permata yakut dan marjan. Yang  sentiasa dara lagi sebaya umurnya, cantik, manja, rindu dan amat  mencintai suaminya. Yang suci dari sebarang kotoran, haid, nifas,  kencing dan air mani. Sopan menundukkan pandangan, tidak pernah disentuh  oleh mana-mana jin atau manusia sebelum mereka. Sangat putih kulitnya.  Bermata jeli, anak mata hitam pekat bagaikan mata bayi yang baru  dilahirkan, bahkan lebih jernih dan lebih becahaya. Lebar matanya  disertai bulu mata bagaikan sayap burung yang sedang terbang. Mempunyai  betis yang tembus, yang sangat indah mata melihat sehingga boleh  terlihat sumsum betis dari belakang dagingnya. Mempunyai kelembutan  seperti lembutnya selaput telur di dalam telur yang melekat di kulit  luar. Dikurniakan Allah SWT cahaya pada wajah seperti bulan purnama.  Cahaya serta bau harum semerbak pada tubuh mereka dapat memenuhi dunia  antara langit dan bumi. Sedangkan tutup kepala bidadari itu lebih baik  dari dunia dan seisinya. 
Terdapat kemah-kemah yang mengandungi berpuluh-puluh bilik dari  mutiara yang berlubang. Ada bilik yang bagaikan taman yang luas yang  dipenuhi pohon-pohon palma dan di kelilingi sungai yang mengalir, yang  tepiannya dilitupi oleh bunga mawar, melati dan lain-lain bunga yang  tumbuh dari lembah. Ketika angin meniup taman bunga ini, seluruh taman  dipenuhi bau harum semerbak. Di dalam bilik ada ruangan luas yang  diperbuat dari kayu cendana dan pokok gaharu serta dilapisi dengan  segala macam marmar berwarna. Berterbangan burung-burung seperti burung  bul-bul, murai atau merpati yang pandai menyanyi. Setiap bilik dihiasi  dengan perhiasan dari zamrud, batu merah, batu delima merah jingga,  serta emas dan perak. Di dalam bilik yang sebegini indah inilah tempat  tinggalnya bidadari itu. Mereka menantikan kedatangan suami mereka  dengan menyanyikan lagu-lagu rindu bagaikan orang yang sedang mabuk  cinta. Setiap kali mereka menyenandungkan lagu-lagu pujaan yang  menyebut-nyebut suami mereka setiap itu pula bangkit nafsu kecemburuan  mereka.
Hadis riwayat At-Tarmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Di sediakan  tempat untuk berkumpulnya para bidadari, dan di sana mereka beryanyi  semerdu suara yang belum pernah didengar oleh manusia suara semerdu itu.  Kamilah yang kekal dan tak akan rosak (berubah), kamilah selalu senang  tak pernah susah, kamilah yang puas rela tak akan marah, sungguh bahagia  orang yang untuk kami dan kami untuknya." 
Ketika mereka yakni suami bidadari melintasi kawasan perkemahan di  mana para bidadari berkumpul, maka para bidadari akan menyambut  kedatangan suami mereka dengan sepenuh jiwa dan raga mereka kepadanya.  Para bidadari akan melayan sepenuhnya keinginan suaminya, bahkan  menggoda supaya suaminya terus bermesra dengannya. Para bidadari  sentiasa inginkan kehidupan di atas tilam-tilam sutera yang lembut,  dengan cadar yang berilau-kilauan, sentiasa berpegangan erat tangan  suaminya. Hubungan senggama bersama bidadari adalah hubungan kenikmatan  tanpa sebarang keletihan, peluh mahupun kotoran berupa air mani. Seorang  suami boleh menggauli 100 bidadari dalam sehari.
Bagi mereka yang menduduki syurga 'Adn, mereka akan menduduki  istana-istana yang diperbuat daripada mutiara. Di dalam setiap istana  terdapat 70 buah rumah dari permata yakut merah. Di dalam setiap rumah  terdapat 70 buah bilik dari zamrut hijau. Di dalam setiap bilik terdapat  ranjang. Setiap ranjang terdapat 70 permaidani dalam pelbagai warna,  dan setiap permaidani terdapat seorang bidadari. Mereka akan diberi  hiasan gelang dari emas, berpakaian hijau dari sutera yang bersulam  benang emas. 
Ahli syurga akan lupa akan segala kenikmatan yang mereka alami di  dalam syurga apabila mereka dihimpunkan dalam satu majlis yang agung.  Majlis ini adalah kemuncak bagi segala kenikmatan bagi penduduk syurga  kerana di dalam majlis ini, mereka dapat mendengar dengan sendiri  kalimat dari Allah SWT, dapat melihat Zat Allah SWT, dapat redha dari  Allah SWT dan dapat pengisytiharan yang mereka akan hidup kekal  selamanya di dalam syurga oleh Allah SWT.
Wallahu'alam.
 
Comments